Saturday, 19 October 2013

M

Mabuk Darah
Maksud:
A) Pening kerana melihat darah yang banyak.
B) Pengsan kerana terlalu banyak mengeluarkan darah.
C) Mengamuk seolah-olah hilang ingatan kerana melihat darah.
Contoh Ayat:
A) Salmi mabuk darah apabila melihat keadaan adiknya.
B) Salman mabuk darah kerana luka di dadanya mengeluarkan banyak darah.
C) Tentera itu mabuk darah lalu melepaskan tembakan rambang.
Mabuk Gunung
Maksud: Mabuk ketika berada di tempat yang tinggi.
Contoh Ayat: Rahmah mabuk gunung semasa mendaki Gunung Kinabalu.
Mabuk Kecubung
Maksud: Sangat kasih akan seseorang sehingga tidak menghiraukan hal-hal lain.
Mabuk Kepayang
Maksud: Sangat kasih akan seseorang sehingga tidak menghiraukan hal-hal lain.
Mabuk Laut
Maksud: Pening dan muntah semasa belayar.
Contoh Ayat: Si Tanggang telah seminggu mabuk laut dan terlantar di geladak kapal.
Mabuk Selasih
Maksud: Sangat kasih akan seseorang sehingga tidak menghiraukan hal-hal lain.
Mahkota Hati
Maksud: Orang kesayangan; kekasih.
Mahkota Negeri
Contoh Ayat: Raja Nazrin telah ditabalkan menjadi mahkota negeri Perak Darul Ridzuan.
Main Mata = Bermain Mata
Maksud: Memberikan isyarat dengan mata.
Contoh Ayat: Pemuda itu bermain mata untuk mendapatkan perhatian daripada Kak Leha.
Makan Angin
Maksud: Berehat atau bersiar-siar.
Contoh Ayat: Pada hujung minggu lepas kami sekeluarga makan angin ke Kota Bharu.
Makan Angkat
Maksud: Orang yang suka dipuji.
Contoh Ayat: Pembantu rumah saya makan angkat, kalau dipuji semakin rajin dia bekerja.
Makan Beradap
Maksud: Makan bersama-sama buat pertama kali (pasangan pengantin).
Contoh Ayat: Mak Andak menemankan pengantin semasa makan beradap.
Makan Berdamai
Maksud: Makan bersama-sama buat pertama kali (pasangan pengantin).
Makan Besar
Maksud: Mengadakan jamuan.
Contoh Ayat: Jemputlah ke rumah kerana ada makan besar petang ini.
Makan Budi = Termakan Budi
Maksud: Menerima pertolongan orang.
Contoh Ayat: Akibat termakan budi pak ciknya, Zali dipaksa berkahwin dengan sepupunya.
Makan Bunga
Maksud: Mengambil keuntungan daripada wang yang dipinjamkan.
Contoh Ayat: Ceti itu makan bunga dengan mengenakan kadar faedah 20% daripada jumlah wang yang dipinjam.
Makan Darah
Maksud: Sesuatu yang dijual dengan harga yang sangat mahal.
Contoh Ayat: Penjaja di kampung itu makan darah kerana kain yang dijualnya sangat mahal berbanding dengan harga di bandar.
Makan Diri
Maksud: Berasa sedih yang teramat sangat sehingga merosakkan diri sendiri.
Contoh Ayat: Semenjak ditinggalkan oleh suaminya, dia makan diri sehingga menjadi kurus kering.
Makan Duit
Maksud: Mengambil wang secara haram; rasuah.
Contoh Ayat: Pekerja yang makan duit syarikat telah dikenakan tindakan undang-undang.
Makan Gaji
Maksud: Bekerja untuk mendapatkan upah.
Contoh Ayat: Hasrom bekerja makan gaji dengan abangnya.
Makan Garam
Maksud: Mempunyai banyak pengalaman dalam hidup.
Contoh Ayat: Dengarlah nasihat orang tua kerana mereka telah lama makan garam.
Makan Hati
Maksud: Berasa sedih yang teramat sangat sehingga merosakkan diri sendiri.
Makan Kawan
Maksud: Mencelakakan kawan sendiri.
Contoh Ayat: Jabir makan kawan sendiri apabila dia memfitnah Jamil.
Makan Suap
Maksud: Mengambil wang secara haram; rasuah.
Makan Sumpah
Maksud: Mendapat kesusahan setelah mengingkari sumpah.
Contoh Ayat: Akibat dimakan sumpah, hidupnya menjadi miskin dan melarat.
Makan Tanggung
Maksud: Hidup di bawah jagaan orang lain.
Contoh Ayat: Rasida makan tanggung di rumah ibu saudaranya.
Malu-Malu Bahasa
Maksud: Berasa segan.
Contoh Ayat: Semasa bersua muka dengan pemuda itu, Zainab malu-malu bahasa.
Malu-Malu Kucing
Maksud: Pura-pura malu.
Contoh Ayat: Roslan malu-malu kucing apabila bersua muka dengan Rokiah.
Mandi Biar Basah
Maksud: Kalau membuat sesuatu kerja biar bersungguh-sungguh.
Contoh Ayat: Kalau kau mahu menjadi petani yang berjaya, bekerjalah bersungguh-sungguh, bak kata orang kalau mandi biar basah, nasihat Adi kepada Rahman.
Mandi Bunga
Maksud: Mandi air perahan limau dan bunga-bungaan dengan tujuan tertentu.
Contoh Ayat: Dia mandi bunga setelah sembuh daripada penyakitnya.
Mandi Darah
Maksud: Berlumuran darah.
Contoh Ayat: Perajurit itu mandi darah kerana cedera terkena tembakan musuh.
Mandi Embun
Maksud: Membiarkan diri dibasahi embun.
Contoh Ayat: Kami bermandi embun kerana berkawal di tapak perkhemahan sehingga dinihari.
Mandi Kerbau
Maksud: Mandi yang tidak bersih.
Contoh Ayat: Semasa mengikuti Kursus Bina Semangat, peserta terpaksa mandi kerbau kerana kekurangan air.
Mandi Keringat = Bermandi Keringat
Maksud: Bekerja dengan sepenuh tenaga.
Contoh Ayat: Penduduk di kampung itu bermandi keringat untuk membina sebuah sekolah agama.
Mandi Ombak = Bermandi Ombak
Maksud: Basah kena ombak.
Contoh Ayat: Nelayan itu sudah biasa bermandi ombak.
Mandi Peluh
Maksud: Bekerja dengan sepenuh tenaga.
Masin Lidah
Maksud: Apa yang dikata menjadi kebenaran.
Contoh Ayat: Atikah menjadi guru dan masin lidah Mak Long yang selalu memanggilnya ‘cikgu’.
Masin Mulut
Maksud: Apa yang dikata menjadi kebenaran.
Masuk Ajar
Maksud: Mendengar nasihat.
Contoh Ayat: Jamilah cepat masuk ajar apabila kelakuannya ditegur oleh guru.
Masuk Akal
Maksud: Dapat diterima akal.
Contoh Ayat: Berita yang disampaikan itu masuk akal kerana ada kesahihannya.
Masuk Angin Keluar Asap
Maksud: Tidak mencapai apa yang dikehendaki.
Contoh Ayat: Samad diisytiharkan bankrap akibat perniagaannya yang masuk angin keluar asap.
Masuk Angin
Maksud: Sakit kerana kesejukan atau sebagainya.
Contoh Ayat: Perutnya masuk angin kerana tidak makan semalaman.
Masuk Bakul Sampah
Maksud: Ditolak.
Contoh Ayat: Rayuan penduduk kampung untuk membina jambatan baru telah masuk bakul sampah.
Masuk Buku
Maksud: Dicatatkan ke dalam buku.
Contoh Ayat: Segala hutang-piutangnya masuk buku.
Masuk Daun
Maksud: Memperoleh peluang yang baik.
Contoh Ayat: Nampaknya perniagaan kita sudah masuk daun dan kita bakal menjadi orang kaya.
Mat Jenin
Maksud: Orang yang suka berangan-angan.
Contoh Ayat: Berusahalah kalau mahu berjaya dan jangan menjadi seperti Mat Jenin.
Mata Air
Maksud:
A) Orang kesayangan; kekasih.
B) Tempat air keluar dari tanah.
Contoh Ayat: Mata air yang terdapat di lereng bukit itu digali untuk dijadikan telaga.
Mata Duitan
Maksud: Orang yang tamakkan wang.
Contoh Ayat: Zainon mata duitan sebab itulah suaminya terpaksa bekerja bertungkus-lumus untuk mencari wang yang lebih.
Mata Hati
Maksud: Perasaan dalam hati.
Contoh Ayat: Walaupun dia buta tetapi mata hatinya celik.
Mata Keranjang
Maksud: Sangat berkeinginan kepada seseorang perempuan.
Mata Lembu
Maksud: Telur yang digoreng bulat-bulat.
Contoh Ayat: Saya makan nasi lemak berlaukkan telur mata lembu.
Mata Petai
Maksud: Tidak dapat melihat dengan betul.
Contoh Ayat: Oleh sebab Halim mata petai permohonannya untuk menjadi tentera ditolak.
Mata Telinga
Maksud: Kakitangan yang diharapkan.
Contoh Ayat: Semua penduduk kampung itu menjadi mata telinga pihak polis untuk menangani masalah penyeludupan.
Mati Akal
Maksud: Buntu fikiran.
Contoh Ayat: Fitri menjadi bingung dan mati akal untuk menyelesaikan masalah rumah tangga yang sedang dihadapinya.
Mati Angin
Tidak berkuasa.
Contoh Ayat: Pihak polis mati angin kerana penyeludup itu telah lari ke negara jiran.
Mati Ayam
Maksud: Mati dengan sia-sia.
Contoh Ayat: Semenjak rakannya mati ayam dalam perlumbaan haram itu, dia tidak lagi bergaul dengan budak-budak nakal.
Mati Balik Hidup
Maksud: Selamat setelah mengalami bahaya besar.
Contoh Ayat: Saya rasa seperti mati balik hidup kerana terselamat setelah terjatuh dari tingkat lima bangunan tersebut.
Mati Beragan
Maksud: Kelihatan seperti mati tetapi sebenarnya masih hidup.
Contoh Ayat: Pak Ali mati beragan semenjak kematian isteri yang amat disayanginya.
Mati Katak
Maksud: Mati dengan sia-sia.
Mati Kutu
Maksud: Tidak melawan.
Contoh Ayat: Dia mati kutu apabila dimarahi oleh ayahnya kerana gagal dalam peperiksaan.
Minta Diri
Maksud: Memohon diizinkan pergi.
Contoh Ayat: Razif minta diri dari majlis itu kerana dia terpaksa menghadiri mesyuarat di pejabatnya.
Minta Jalan
Maksud: Meminta diberi jalan untuk lalu.
Contoh Ayat: Kami terpaksa minta jalan untuk berjumpa pasangan pengantin yang diraikan kerana dewan itu telah penuh sesak dengan para jemputan.
Minta Nyawa
Maksud: Memohon supaya tidak dibunuh; meminta belas ihsan.
Contoh Ayat: Pencuri itu minta nyawa daripada ahli rukun tetangga yang menangkapnya ketika sedang memecah masuk rumah Pak Jamal.
Muka Baru
Maksud: Orang atau pemain yang baru melibatkan diri dalam sesuatu bidang.
Contoh Ayat: Hadiah utama peraduan mengarang cerpen anjuran akhbar tempatan telah dimenangi oleh penulis muka baru.
Muka Dua
Maksud: Tidak jujur.
Contoh Ayat: Hamzah bermuka dua kerana sekejap dia menyokong kita dan sekejap dia menyokong pihak lawan.
Muka Lama
Maksud: Orang atau pemain lama yang sudah berpenglaman.
Contoh Ayat: Azean Irdawaty muka lama dalam bidang lakonan.
Muka Laut
Maksud: Permukaan laut.
Contoh Ayat: Serambi rumah Zaki berhadapan dengan muka laut.
Muka Manis
Maksud: Menunjukkan muka yang gembira dan tersenyum.
Contoh Ayat: Dia bercakap dengan muka manis kepada tetamu yang hadir.
Muka Masam
Maksud: Menunjukkan muka yang muram atau benci.
Contoh Ayat: Dia bercakap dengan muka masam seolah-olah dia sedang menghadapi masalah.
Muka Papan
Maksud: Orang yang tidak tahu malu; tidak menghiraukan teguran.
Contoh Ayat: Dia memang muka papan kerana sering meminta duit daripada isterinya.
Muka Tebal
Maksud: Orang yang tidak tahu malu; tidak menghiraukan teguran.
Muka Tembok
Maksud: Orang yang tidak tahu malu; tidak menghiraukan teguran.
Mulut Bisa
Maksud: Orang yang selalu mengeluarkan kata-kata pedas.
Contoh Ayat: Akibat mulut bisa Mak Limah, jiran tetangga memulaukannya.
Mulut Gatal
Maksud: Suka bercakap apa sahaja.
Contoh Ayat: Idham dikatakan mulut gatal kerana suka bercerita hal yang tidak senonoh.
Mulut Kotor
Maksud: Suka bercakap apa sahaja.
Mulut Manis
Maksud: Lemah lembut dan baik tutur katanya.
Contoh Ayat: Fatima bukan sahaja jelita tetapi bermulut manis.
Mulut Murai
Maksud: Orang yang suka bercakap banyak.
Contoh Ayat: Akibat mulut murai Kak Timah, rumah tangganya porak-peranda.
Mulut Tajam
Maksud: Orang yang selalu mengeluarkan kata-kata pedas.
Mulut Tempayan
Maksud: Orang yang tidak tahan menyimpan rahsianya.
Murah Hati
Maksud: Pemurah.
Murah Mulut
Maksud: Ramah.
Contoh Ayat: Jiran yang baru pindah itu murah mulut.
Murah Rezeki
Maksud: Mudah memperoleh rezeki.
Contoh Ayat: Murah rezeki ayah kali ini kerana dia telah memenangi peraduan teka kata yang dianjurkan oleh sebuah syarikat penerbangan.
Murah Tangan
Maksud: Pemurah.
Musuh Dalam Selimut
Maksud: Musuh yang sangat dekat atau yang berada dalam lingkungan sendiri.
Contoh Ayat: Rupa-rupanya Kim Seng adalah musuh dalam selimut pasukan tentera. Dia telah memberitahu semua rancangan kerajaan kepada pihak musuh.