Saturday, 19 October 2013

S

Sagu Hati
Maksud: Wang atau pemberian yang diberikan sebagai ganti rugi.
Contoh Ayat: Sagu hati akan diberikan kepada semua penghuni setinggan apabila rumah mereka dirobohkan.
Sakit Akal
Maksud: Gila.
Sakit Angau
Maksud: Sangat kasih akan seseorang sehingga tidak menghiraukan hal-hal lain.
Sakit Hati
Maksud: Marah kerana ditipu atau dihina.
Contoh Ayat: Sakit hati saya apabila mendapat tahu dia telah menipu saya.
Sakit Otak
Maksud: Gila.
Salah Cakap
Maksud: Maklumat yang disampaikan tidak tepat.
Contoh Ayat: Jangan cepat percaya pada cerita Salmi kerana dia selalu salah cakap.
Salah Jalan = Tersalah Jalan
Maksud: Tersesat.
Contoh Ayat: Kami terlewat untuk menyaksikan persandingan Kamil kerana sewaktu kami hendak ke rumahnya, kami telah tersalah jalan.
Salah Kata = Tersalah Kata
Maksud: Maklumat yang disampaikan tidak tepat.
Salah Langkah
Maksud: Memulakan sesuatu usaha tanpa rancangan yang teliti.
Contoh Ayat: Disebabkan salah langkah hasil keluaran syarikatnya tidak mendapat pasaran yang baik.
Salah Mulut
Maksud: Terlajak kata.
Contoh Ayat: Akibat salah mulut, Suzi telah dimarahi oleh ibunya.
Salah Urat
Maksud: Terseliuh atau terpelecok.
Contoh Ayat: Dia salah urat semasa mengadakan latihan lompat tinggi semalam.
Sampah Dunia
Maksud: Orang yang tidak berguna.
Sampah Masyarakat
Maksud: Orang yang tidak berguna.
Sampai Ajal
Maksud: Meninggal dunia.
Contoh Ayat: Sekian lama dia menderita sakit dan kini telah sampai ajalnya.
Sampai Akal
Maksud: Dapat diterima akal.
Sampai Hati
Maksud: Tergamak melakukan sesuatu.
Contoh Ayat: Tidak sampai hati Tuk Ya hendak menembak rusa itu.
Saudara Angkat
Maksud:
A) Orang yang dipelihara oleh ibu bapa kita.
B) Seseorang yang diakui sebagai saudara sendiri.
Contoh Ayat:
A) Jamil menjadi saudara angkat saya semenjak dia masih kecil.
B) Semenjak Jamil tinggal bersama kami setelah kematian orang tuanya, kami menganggapnya sebagai saudara angkat kami.
Saudara Anjing
Maksud: Adik-beradik seibu berlainan ayah.
Contoh Ayat: Setelah ibunya berkahwin lain, Mariah memperoleh seorang saudara anjing bernama Mariana.
Saudara Baru
Maksud: Orang yang baru memeluk agama Islam.
Contoh Ayat: Salmiah Abdullah merupakan saudara baru dan kita perlu membimbingnya mendalami ilmu agama.
Saudara Dekat
Maksud: Saudara-mara yang masih dekat pertaliannya.
Contoh Ayat: Kami saudara dekat kerana ibu kami adik-beradik.
Saudara Jauh
Maksud: Persaudaraan yang jauh.
Saudara Kandung
Maksud: Saudara seibu sebapa.
Contoh Ayat: Ibu terpaksa menyerahkan saudara kandung saya kepada Mak Piah kerana kesempitan hidup.
Saudara Pungut
Maksud: Orang yang dipelihara oleh ibu bapa kita.
Saudara Susu = Saudara Susuan
Maksud: Menjadi saudara atau adik-beradik kerana menyusu daripada perempuan yang sama.
Contoh Ayat: Dia menjadi saudara susuan saya kerana ibu telah menyusuinya sejak dia masih bayi lagi.
Sehelai Sepinggang
Maksud: Pakaian yang ada pada tubuh.
Contoh Ayat: Mangsa kebakaran itu tinggal sehelai sepinggang kerana semua harta benda mereka telah musnah.
Sejuk Hati
Maksud: Perasaan tenang setelah dinasihat atau dipujuk.
Contoh Ayat: Amir berasa sejuk hati setelah dinasihati oleh bapanya.
Sekangkang Kera
Maksud: Kecil.
Contoh Ayat: Hanya tanah sekangkang kera itulah hartanya.
Sekapur Sirih
Maksud: Sekejap.
Contoh Ayat: Dia singgah tidak lama sekadar sekapur sirih sahaja.
Senang Cakap
Maksud: Mudah memperkatakan sesuatu tetapi sukar membuatnya.
Contoh Ayat: Kau senang cakap tetapi apabila disuruh, batang hidung kau pun aku tidak nampak, kata Lily kepada Ahmad.
Senang Hati
Maksud: Gembira kerana sesuatu.
Contoh Ayat: Senang hati Mak Tijah kerana anaknya telah lulus dan menjadi seorang doktor yang bertauliah.
Sengkang Mata = Bersengkang Mata
Maksud: Tidak tidur semalaman.
Contoh Ayat: Mak Cik Ananti terpaksa bersengkang mata untuk menjaga anaknya yang sakit.
Senyum Kambing
Maksud: Senyum mengejek.
Contoh Ayat: Kami hanya senyum kambing apabila melihat gelagat Mona yang mengada-ada itu.
Senyum Kucing
Maksud: Senyum yang ada muslihat.
Contoh Ayat: Tali barut Jepun itu senyum kucing apabila memandang Salmah.
Senyum Manis
Maksud: Senyum yang menarik.
Contoh Ayat: Suzana tersenyum manis ketika diperkenalkan kepada keluarga bakal mentuanya.
Senyum Mesra
Maksud: Senyum yang menunjukkan kemesraan.
Contoh Ayat: Asha tersenyum mesra menyambut kepulangan anaknya.
Senyum Raja
Maksud: Senyum yang dibuat-buat.
Contoh Ayat: Dia tidak berkata apa-apa hanya tersenyum raja apabila diminta memberikan pendapat.
Senyum Simpul
Maksud: Senyum sedikit.
Contoh Ayat: Salina tersenyum simpul dan tersipu-sipu malu apabila dipuji oleh bakal mentuanya.
Senyum Sumbing
Maksud: Senyum sedikit.
Senyum Tawar
Maksud: Senyum yang dibuat-buat ketika berdukacita.
Contoh Ayat: Salmah yang dalam kesedihan hanya tersenyum tawar apabila disapa oleh rakan-rakannya.
Senyum-Senyum Siput
Maksud: Senyum sedikit.
Sepak Kertas
Maksud: Tidak mempunyai pekerjaan.
Contoh Ayat: Sudah dua bulan saya sepak kertas selepas syarikat tempat saya bekerja ditutup.
Separuh Mati
Maksud: Terlalu penat.
Contoh Ayat: Separuh mati Zaharah membersihkan rumah yang telah dua bulan ditinggalkan itu.
Seri Muka
Maksud: Cahaya muka.
Contoh Ayat: Seri muka Fadhilah masih kelihatan, maklumlah baru mejadi raja sehari.
Seri Panggung
Maksud: Bintang bangsawan.
Contoh Ayat: Mistijah digilai ramai pemuda semenjak menjadi seri panggung.
Serkap Jarang
Maksud: Menuduh sembarangan.
Contoh Ayat: Kalau menuduh orang biarlah dengan buktinya jangan pakai serkap jarang sahaja.
Setengah Tiang
Maksud: Gila-gila.
Contoh Ayat: Jangan percaya cakapnya kerana dia setengah tiang.
Singkat Akal
Maksud: Tidak bijak.
Contoh Ayat: Sikap Devi yang singkat akal telah merugikannya apabila dia menjual tanahnya dengan harga yang murah dan kini tanah itu bernilai berjuta-juta ringgit.
Singkat Umur
Maksud: Umur pendek.
Contoh Ayat: Danial singkat umur kerana dia meninggal dunia ketika berumur 30 tahun.
Suara Hati
Maksud: Perasaan.
Suara Sumbang = Suara-Suara Sumbang
Maksud: Pendapat yang bertentangan dengan pendapat umum.
Contoh Ayat: Banyak suara-suara sumbang yang didengari Zaki selepas dia mengambil keputusan untuk membuka kolam ternakan udang di kampungnya.
Suntuk Akal
Maksud: Buntu fikiran.
Suntuk fikiran
Maksud: Cetek pengetahuan.
Contoh Ayat: Jika kamu tidak suka membaca buku, kamu akan menjadi suntuk fikiran.